Saturday 17 September 2011

Jangan bunuh dia!

"Hei kamu!
ya kamulah! Siapa lagi..
Apa khabar? Sihat?"

"Mestilah sihat.. Sejak kebelakangan ni rasa bahagiaaa je.."

"Tak. Tak. Bukan kamu, aku tanya pada yang di 'dalam' kamu tu.
Nampak macam tak sihat.. Sakit ke?"

"Ah? Akukah yang kau maksudkan?"... "Urrgghh...Aku sedang nazak ni.."

"Eh? Kenapa kau biarkan dia sakit macam tu? Kau tak sedar ke?"

"Ha..?! Oh! Hmm.. Iyelah, kau nampak teruk.."

"Ni semua salah kau lah! Sanggup kau buat aku macam ni.. Aku disakiti perlahan-lahan.. Kau nak bunuh aku ke..? ... Aarrrgghh...... Uhuk,uhuk!"

"Emm.. Aku.. Aku.. Tak perasan kau sakit. Sekarang ni aku rasa luaran aku sihat je. Tak sangka pulak kau yang di dalam ni teruk betul.. Emm.."

"Apa pasal kau boleh tak perasan? Apa yang kau sibukkan sekarang ni..?"

"Emm.. aku.... Emm..maklumlah sekarang ni aku kan tengah cuti ni. Jadi sibuk sikit la luangkan masa untuk yang tu, yang ni, benda tu, benda ni.. hmm..."

"Ish kau ni! Kalau kau jaga dia ni elok-elok, kau tak payah nak luangkan masa untuk yang lain-lain tu.. Kau tu yang ikutkan sangat kehendak diorang tu.. Melebih-lebih! Sebab tu dia ni makin sakit!"

"Entah kau ni.. Kesian kat aku tau. Dulu ada jugak kau jenguk-jenguk aku. Bagi makan.. temankan aku malam-malam.. bacakan surat-surat cinta yang best tu.. Sekarang ni kau biar je aku camni.. sedih ar camni!"

"Hmm.. aku bukan ape.. Masa awal-awal tu aku ingat nak teman diorang sekejap je,, tapi tak sangka pulak aku sampai melebih-lebihkan diorang.. Aku bagi dia tu dengar lagu best-best.. Aku bagi dia ni tengok citer yang baru kuar kat wayang smuaa.. Tu yang rasa penat skit.."

"Aah! Penat la sangat.. Ape yang buat kau penat sampai tak sempat nak teman aku bangun malam? Pagi pun asyik terlajak je, kesian kat aku.. Kau ni..!"

"hmm.. kau orang tak paham.. Susah la aku camni.. Aku rasa tak larat nak jaga kau lagi.. Diorang tu pun kadang-kadang nak jugak aku manja-manjakan.."

"Eh, kau tu yang salah cara nak manjakan diorang.. Patutnya kalau kau nak temankan diorang, bawak dia ni skali! Kalau kau teringin nak tengok wayang ke,, bawak skali dia ni, kalau dia cakap wayang tu tak best, tak baik untuk kau, kau tak patut teruskan! Yang penting kau dengar cakap dia ni..Faham?!"

"Hmm.. Aku tau aku salah sebab tak jaga kau elok-elok.. Tapi kau orang tak patut salahkan aku jugak! Mana kawan-kawan lain tak tolong nasihat aku pun! Patutnya diorang tolong ingatkan aku untuk jaga kau ni."

"Kau jangan nak salahkan sapa-sapa. Yang paling dekat dengan kau adalah Dia! Dia lebih dekat dari urat leher kau! Sepatutnya kau tau dan ingat tu! Dia tahu apa yang kau bisikkan walau tak terlafaz di mulut. Dia sentiasa dekat.. Kawan-kawan kau pun selalu ada dan siap membantu kalau kau perlukan diorang. Masalah skarang ni, Dia dan kawan-kawan kau yang jauh atau kau yang menjauhkan diri dari Dia dan kawan-kawan kau?!"

"Ah? hmm..aku.. Entahlah.. aku khilaf.. Aku patut sedar semua ni. Aku tak patut buat kau sakit walaupun sikit.. Maafkan aku.."

"Aku takkan kembali sihat kalau setakat terima maaf kau je. Kau patut tolong aku!"

"Tolong ape? Kau ni..."

"Ish! Jangan nak merungut, kau nak tolong aku atau kau nak bunuh aku je terus?!"

"Eh tak! Tak! Meh kau cakap je kat aku..InsyaAllah aku buat asalkan kau sihat balik.. Aku rindukan kau lah.. Kau tau tak, aku baru perasan, masa kau sakit kan, aku pun rasa cam ada yang tak kena. Aku rasa keseorangan walaupun aku dikelilingi ramai orang. Aku rasa ada sesuatu yang hilang walaupun masa tu aku dapat habiskan duit aku beli smua yang aku nak. Aku rasa ada benda yang tak setel walaupun masa tu aku luangkan banyak masa dan yang paling penting aku rasa rindu kat sesuatu, tapi aku tak tau ape yang aku rindukan..."

"Haa..tau pun kau. Kau rasa tak kena sebab semua benda yang kau buat tu tak kena dengan apa yang aku nak. Kau rasa keseorangan sebab kau tak bersama aku. Kau rasa ada yang hilang sebab kau tengah bunuh aku dan aku mati perlahan-lahan. Kau rasa ada yang tak setel sebab kau tak penuhi apa yang aku perlukan dan yang paling penting, kau rindukan Dia..."

**Tunduk**

"Dah, sekarang ni, aku boleh balik kat kau, asalkan kau buat ape yang aku nak ni. Boleh?"

"Ye, insyaAllah, semoga Dia permudahkan, apa yang kau nak aku buat?"

"Aku nak kau temankan aku setiap malam, kalau boleh kau buat aku menangis kerana rindukan Dia.. Aku nak selalu dengar kau baca surat-surat cinta Dia. Aku nak kau selalu sebut nama-nama Dia sebab bila kau sebut nama Dia banyak-banyak, aku rasa tenang..Tu je setakat ni untuk sihatkan aku balik. Bleh buat?"

"InsyaAllah, dulu sebelum aku tinggalkan kau.. Aku kan selalu buat tu.. Masa tu kau sihat je kan.. InsyaAllah aku akan buat lebih bagus lagi dan lebih banyak lagi dari yang kau suruh tu.!"

** semangat! **

"Ah, seronoknya bila tengok kau dua orang dah ok."

.....................................................

"Allah meluaskan rezki dan menyempitkannya bagi siapa yang Dia kehendaki. Mereka bergembira dengan kehidupan di dunia, padahal kehidupan dunia itu (dibanding dengan) kehidupan akhirat, hanyalah kesenangan (yang sedikit). (Ar-Ra'du 13:26)"

" Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya. (Qaaf 50:16)"

" Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya. (Al Isra' 17:36)"



......................................
Wallahu 'alam.

Wednesday 24 August 2011

Buat Diri


Derap kakimu nampaknya longlai.
Senda gurau duniawi kian menghiburmu.
Kau rasa kau puas.
Hakikatnya kau semakin keliru sendiri.

Apa yang dicari, apa yang diingini?
Pencarianmu buntu tanda tak pasti.

Terdengar suara keras memanggil.
Teresak tangismu tubuh menggigil.
Menyambut seru malaikat Izrail.


Suatu saat lahad pun menempatimu.
Ah, keseorangan sendiri tanpa ada tamu.
Gelapnya menyesak dada menekan kalbu.
Tiada siapa mendengar seru.
Apatah lagi menghulur membantu.

Kau sendiri di padang sesak.
Peluh memercik dek mentari marak.
Tak sedar dirimu meratap melalak.
Bimbang ke mana, kau kan ditolak.

Mana mungkin kau minta kecuali.
Perhitungan bermula,kau pasti diadili.
Tatkala lidahmu dibelenggu rapi.
Biar tubuhmu menjadi saksi.

Saat ini lewat sudah penyesalan.
Tempat akhirmu nampaknya tak aman.
Andai iman dan amal tak jadi bekalan.

Tak guna minta kembali ke dunia khayalan.

Waktu kian menganjak pergi.
Destinasi abadi kian menghampiri.
Namun kau masih leka sendiri.
Kian bingung, tiada mengerti.


Apa rasamu bila diberi peringatan?
Terusikkah iman, terbitkah ruang perubahan?
Wahai manusia, carilah di mana Tuhan.
Kerna di sisiNya lah jua tempat kembali yang aman..





* Nukilan hamba futur dan kufur. Minta diampun dinaung dalam redhaMu. Minta dijauhi azab neraka, namun rasa terhina mengidam syurga.

Saturday 13 August 2011

Dari Jalur Gaza..

 
Sebuah pembacaan yang menarik jiwa mencari makna dan pembuktian Islam dalam diri..


"Keajaiban demi keajaiban telah terjadi di jalur Gaza. Sepetak tanah yang tak lebih dari 360 km persegi. Di atas tanah yang ditimpakan penderitaan lebih dari penderitaan penjajahan manapun di abad moden ini. Ketika Israel laknatullah menjatuhkan 1 kg amunisi dan bahan peledak untuk masing-masing penduduk Gaza yang berjumlah 1.5 juta orang, melalui bom, misil dan peluru, melalui puluhan jet tempur dan ratusan tank. Di sanalah.. AYAT-AYAT ALLAH BERBICARA.."


Gaza, benteng terakhir..


Hamas yang ditubuh pada 1987 menjadi pejuang utama di Palestin. Keberadaan mereka di Gaza umpama memberi harapan akan munculnya generasi Salahuddin al Ayubi yang akan kembali membebaskan Baitul Maqdis. Jika semasa Perang Salib, muncul panglima agung, kini semoga darah muslim yang bergenang di Deir Yasin, Shabra Shatila dan Gaza ini dibalas setimpal oleh Hamas di Palestin.


Sabda Rasulullah S.A.W:
"Segolongan dari ummatku akan terus berada dalam kebenaran, mereka akan terus berjuang melawan orang yang memusuhi mereka. Mereka seperti bejana makanan di antara para penyantapnya sampai Allah memutuskan (kemenangan bagi mereka) sementara mereka dalam kondisi seperti itu." 'Wahai Rasulullah, di mana mereka?' "Mereka di sekitar Baitul Maqdis." (HR Ahmad)


Hamas senyap tapi pasti, tidak berhenti dan terus memperluas sentuhannya ke seluruh masyarakat.


"Air yang mengalir lebih baik dari air yang diam. Kami sebagai sebuah gerakan, bisa menjadi air yang diam dan dibekukan oleh ketakutan dengan alasan memelihara keamanan dan organisasi. Jika itu yang dipilih,, kita akan menghidap penyakit dan kotoran. Kita juga bisa menjadi air yang mengalir.. terbaharui setiap waktu, tersebar ke mana-mana. Dengan itulah, kita bisa menjawab suara-suara yang berdalih dengan alasan memelihara keselamatan dakwah, padahal keselamatan dakwah itu ada pada GERAK dan AKTIVITASNYA." - Syeikh Ahmad Yasin.


Anak-anak Gaza, bermental waja.


Bumi seperti Gaza kini yang dibunuh perlahan-lahan hari demi hari, diboikot dan diasing oleh Israel, umpama medan kehidupan ekstrim. Gaza dihenyak dan diseksa dengan seksaaan yang tak terjadi di manapun di muka bumi. Terseksa dengan Israel, terbuang dan terabaikan oleh negara-negara dunia malah terdiam oleh negara-negara Islam yang 'tak berdaya'. Kita ibarat merestui kesengsaraan Gaza. Nauzubillahi min zaalik.


Bom phosphorus di langit Gaza.


Banyak pasukan medic yang menerima kes-kes kecederaaan ekstrim di Gaza. Salah satunya adalah akibat terkena bom phosphorus yang dilempar Israel. Menurut undang-undang dunia, bom fosforus putih ini hanya dibolehkan di medan perang terbuka dan dilarang untuk dijatuhkan di kawasan padat penduduk. Tapi hingga kini, belum ada suara-suara dunia yang mampu membidas Israel terhadap perlanggaran penggunaan bom ini.


Bom phosphorus putih itu adalah ciptaan yang panas membakar. Pakar senjata kimia menyebut, bila asap phosphorus itu terkena kulit, ia membakar hingga ke tulangnya. Panasnya asap itu hingga ia boleh meletup jika bercampur dengan okksigen. Kepedihan jika terkena asap ini sulit digambarkan. Kulit akan mengelupas hebat akibat kepanasan darjah tinggi bercampur oksigen beracun. Jika phosphorus putih itu terkena benda atau pokok saja pun boleh mengeluarkan percikan api, inikan lagi jika terkena kulit manusia..


Apa alasan Israel?


Serangan Israel adalah untuk menghentikan roket-roket pasukan islam Al Qassam. Kata Israel laknatullah, roket-roket Al Qassam itu menghantui dan mencelakakan kota-kota dan penduduk Israel.


Hanya Allah saja yang tahu kejelekkan Israel itu tak terucapkan. Agenda mereka tidak lain lagi, hanya untuk menggulingkan Hamas dan pejuang-pejuang Palestina yang selama ini menghalang cita-cita mereka untuk mendirikan Israel Raya. 


Brigade Izzuddin Al Qassam; Sang Pahlawan.


Sebuah gerakan yang penuh teliti dan cermat. Jaringan komunikasi rahsia. Serangan yang sangat cermat dan effektif. Perang urat saraf. Para pemburu syahid fisabilillah. Akidah yang utuh. Dan segalanya senjata rahsia lain yang menjadi kekuatan Al Qassam.


Al-kama-in - sebuah pasukan perintis yang akan melakukan serangan semasa tentera Israel masuk di perbatasan Timur Gaza. Pasukan ini berjaya memancing pasukan Israel ke lokasi serangan dan membunuh serta mencederakan sejumlah tentera Israel. Al kama-in adalah tentera terlatih dengan kemampuan militari yang siap menyerang pasukan darat Israel.


Al-istisyhadiyun - para pemburu mati syahid yang menghabiskan waktunya berhari-hari mengulang hafalan Al Quran, bertasbih, berzikir, dan berdoa. Mereka berjaga di parit-parit, lorong bawah tanah dan perbatasan. Hidup untuk menang atau mati untuk syahid. Ada antara al-istisyhadiyun ini adlaah para mahasiswa yang rajin mengikuti kuliah seperti mahasiswa lain, tetapi mereka memiliki agenda keimanan yang lebih istimewa. Tidak sama dan tidak diketahui oleh orang lain. Kebanyakan al-istisyahadiyun adalah penghafal al Quran. Saat menunggu perintah serangan dari komandan, mereka mengisi waktu dengan mengulang bacaan Al Quran. Serta berdoa diberi kemenangan atau mati syahid di jalan Allah.


Para perindu syahid ini sangat merindukan pertemuan dengan Allah, tetapi mereka menahan kerinduan itu dengan kewaspadaan dan kehati-hatian mengintai gerak geri musuh Allah. Jika di Gaza, para tentera Islam sampai perlu mengundi siapa yang akan terpilih untuk syahid dalam serangan ke atas musuh Allah. Jika tidak kerana taat pada arahan komandan, nescaya tentera-tentera Islam itu semuanya akan turut ikut dalam sesuatu serangan syahid. Apa pula jawapan kita jika diberi tawaran sebegitu..?


Karamah di bumi Gaza.


Bantuan Allah pasti tiba. Dalam diri penduduk Gaza itu tersemat keyakinan tinggi terhadap pertolongan Allah, dan kerana itulah Israel laknatullah sampai kini belum bisa menguasai gaza sepenuhnya.


Para mujahidin yang syahid, dengan wajah tersenyum dan cerah, tubuh yang masih segar mengalirkan darah merah walau sudah berhari-hari ditinggalkan.. Wangian kasturi yang membaluti jenazah syuhada.. Laungan kalimah syahadah yang bisa menghempaskan jet-jet Israel.. Mushaf Al Quran yang tidak lut dengan tembakan peluru.. Tentera berseragam putih yang menggetarkan musuh-musuh Allah.. Awan putih yang mengaburi tentera musuh hinggakan tentera muslimin berhasil melakukan serangan.. Lemparan butiran pasir yang membutakan mata tentera musuh.. dan berbagai lagi bantuan Allah yang menandakan kesertaaanNya bersama hamba-hambaNya yang mencintaiNya dan berjuang di jalanNya..


Penutup.


Gaza itu.. sebuah tanah di mana Islam tumbuh subur dan mekar di atasnya. Tanah yang dilimpahi darah parah mujahidin dan syuhada yang tulus berjuang.. Tanah yang menyaksikan tangisan dan laungan emosi dan keterseksaan jiwa yang teramat.. Yang mengharapkan huluran tangan para saudara muslimin di negara lainnya..


"Ya Allah, turunkanlah pertolonganMu, gerakkanlah angin, tebarkanlah debu, mantapkan pasukanMu dan kalahkan musuhMu.."


Gaza itu.. adalah bumi hamba-hamba yang bersandar pada 'kekuatan langit'.. 






Wallahu 'alam.

Thursday 11 August 2011

Alhamdulillah

Alhamdulillah, kembali menulis. InsyaAllah kerana Dia.

Alhamdulillah, kembalinya Ramadhan kepada saya. Masih ada rupanya kesempatan untuk hamba berdosa seperti saya memasuki bulan yang lebih mulia dari seribu bulan ini.

Alhamdulillah, saya dapat lagi rasa itu. Rasa untuk mencari Dia kembali. Rasa kekosongan setelah digelapi dengan kesibukan duniawi. Rasa kotor dan hina. Rasa kerdil dan tiada daya. Rasa takut. InsyaAllah.

Fasa keberkatan sudah berlalu pergi. Fasa maghfirah mengungjungi. Fasa akhir, pelepasan dari api neraka insyaAllah akan menghampiri. Langsung..? Ramadhan pasti berlalu pergi. Entahkan tiba lagi, entahkan tidak.

Ramadhan....
Awwaluhu Rahmah,
Ausatuhu maghfirah,
Akhiruhu..itku minannar..

Sunday 31 July 2011

Those 'Muslim' Girls

Sekadar renungan kita bersama..

Renunglah Islam pada isi al quran, risalah Rasulullah, jangan menilai islam sekadar melalui ummatnya..


wallahu 'alam.

Tuesday 26 July 2011

Umat Yang Tidur

Seorang lelaki telah bermimpi.
Di dalam mimpinya, dia dikejar oleh singa. Lalu dia berlari memanjat pokok dan duduk di sebatang dahan. Dia menunggu singa itu pergi, namun singa itu masih berada di bawah pokok itu.

Lalu dia memandang ke dahan tempat didudukinya itu. Kelihatan dua ekor tikus sedang memakan dahan pokok itu menandakan tidak lama lagi, dahan itu akan patah, dan dia akan jatuh. Seekor tikus itu berwarna hitam, manakala seekor lagi berwarna putih.

Dia melihat ke bawah dahan pokok itu. Ada seekor ular hitam sedang membelit pokok itu. Ular itu membuka mulutnya luas-luas menantikan dia jatuh sebagai habuan makanannya.

Setelah tiada arah lagi, lelaki itu memandang ke atas kepalanya, berharap jika masih ada tempat lagi untuk menyelamatkan diri. Di atas dahan tempat dia duduk itu, terdapat sebuah sarang lebah. Setitis madu jatuh keatasnya. Lalu dia pun merasa manisnya madu itu. Setitis demi setitis, dia semakin leka merasai manisnya madu itu. 

Tiba-tiba, tanpa disedarinya, dahan itu patah, lalu dia terjatuh. Saat itu barulah dia kembali teringat bahaya-bahaya yang menuggunya dari awal tadi.

Setelah itu, dia menceritakan mimpinya itu kepada seorang ulama.

ulama tersebut berkata:

Singa yang mengejarmu itu adalah KEMATIAN. Dia akan mengikutimu walau kemanapun kamu pergi.

Tikus-tikus yang memakan dahan itu adalah SIANG DAN MALAM yang 'memakan' detik masa kehidupanmu. Tikus hitam itu adalah malam, dan tikus putih itu adalah siang.

Ular yang bersedia membahammu di bawah dahan itu adalah KUBUR. Bila-bila masa saja kamu akan terjatuh ke dalamnya.

Dan sarang lebah itu adalah DUNIA. Titisan madu yang kamu rasai itu adalah kemewahan dan kesenangan duniawi yang akan melekakanmu lalu kamu terjatuh tanpa sempat bersedia.



Sumber : Into the core

Monday 25 July 2011


Ya Allah..
Dosa apa yang membelenggu jiwa hamba tika ini?
Hingga hamba jadi insan hina dan keji.
Dosa apa yang menghambat hamba saat ini?
Hingga hamba jadi insan pendamba bangkai duniawi?

Ya Tuhan..
Hati apa yang sedang merajai kerajaan diri hamba ini?
Hingga diri hamba terhumban dalam gelap gelita.
Hati apa yang merampas cinta hamba terhadapMu ya Allah?
Hingga hamba terhijab dari segala kebahagiaan bersamaMu ya Allah..

Ya Rahman..
Jangan biar hamba jadi makhluk hina.
Yang bersenang-senang dengan tipu daya dunia.

Ya Rahim...
Izinkan hamba kembali kepadaMu..
Berilah hamba, hati yang baru.
Yang bergetar saat menyebut namaMu..
Yang tenang saat mengingatiMu..
Yang damai saat kembali kepadaMu..

Saat ini..
Bisakah hamba kembali kepadaMu?
Bisakah hati ini ikhlas mencari redhaMu?
Bisakah diri ini melepasi setiap detik duniawi yang menipu?
Bisakah diri ini menjadi tapisan yang baik olehMu?

Andai hamba mati sekarang..
Izinkan hamba menutur kalimah thoyyibah itu..
Izinkan hamba syahid sebagai pencintaMu..
Izinkan hamba melihatMu nanti...

Tuesday 12 July 2011

Berhenti atau tidak..?


Kadangkala, kita tak dapat apa yang kita suka. Tapi kita kena suka apa yang kita dapat.
Fikir-fikirkan.

Bayangkan anda memandu di jalanraya. Beberapa meter di hadapan anda, ada sebuah lampu isyarat. Apa yang anda fikirkan...?

1. Perlukah aku berhenti?

2. Lampu isyarat?? Redah saje!

3. Merah mesti berhenti. Hijau baru boleh jalan.

Begitulah manusia. Orang yang memilih kenyataan pertama, sepertinya dia adalah orang yang ragu-ragu dengan perintah dan larangan Allah. Dia hanya akan mengikut apabila perlu. Dan akan meninggalkan apabila perlu. Keputusan yang dibuat, hanyalah untuk memenuhi keselesaan dan yang apa mudah baginya.

Orang yang memilih kenyataan kedua pula adalah orang yang lansung tidak memperdulikan siapa Allah dan siapa dirinya. Keputusan yang dibuat adalah sangat membahayakan dirinya sendiri. Hukum hakam dan agama hanyalah sesuatu yang menghalang dirinya. Dia bebas melakukan apa saja kerana dia yakin dirinya akan 'terselamat'.

Manakala, orang yang memilih kenyataan ketiga adalah hamba yang patuh pada perintah dan larangan Tuhannya. Keputusannya adalah berdasarkan iman yang memandu dirinya. Dia yakin adanya hikmah yang baik dalam setiap suruhan dan larangan Allah. Dan dia juga yakin, jika terjadi kemalangan, sekurang-kurangnya dia adalah orang yang telah mengikut peraturan jalan raya. Bermakna, tawakkalnya hanya kepada Allah, ujian dan dugaan hidup diserah semuanya kepada Allah.

Mana satu pilihan kita?

Kali pertama, kali kedua langgar lampu isyarat, kita mungkin selamat. Tetapi, pasti suatu masa nanti kita diberi pengajaran setimpal jika masih tidak mematuhinya.

Wednesday 6 July 2011

RahmatNya

Sebuah kisah pendek.

Kisah seorang lelaki yang terselamat setelah kapalnya karam di lautan. Dia terdampar keseorangan di sebuah pulau. Berkali-kali doa dipohon semoga Allah membantunya dan memberinya perlindungan. Hanya Allah saja yang tahu betapa sedih dan buntu hatinya tatkala melihat horizon di kejauhan. Masih tiada kapal yang bisa datang ke pulau kecilnya itu.

Semangatnya diraih bagi menyambung hidup. Segala yang mampu dia lakukan demi membina sebuah tempat berteduh. Keesokan harinya dia keluar mencari barang apa pun yang bisa dijamah buat alas laparnya.

Sekembalinya ia, alangkah luluh hatinya melihat tempat teduh hasil titik peluhnya habis dijilat api. jatuh air matanya, kerana merasa terlalu berat ujian Allah buat dirinya yang keseorangan. 'Lantas apa lagi yang bisa diharapkannya?' Keluhnya pada Allah.

Hari berlalu. Tidurnya dikejutkan oleh dua orang lelaki.

"Alangkah bagusnya kami telah menemui kamu. Ayuh, lekas naik ke sampan. Bisa kami hantar kamu kembali kepada keluargamu." ucap salah seorang dari dua lelaki itu.

"Oh Tuhan, bagaimana bisa kalian menemukan saya di sini? Terima kasih kerana menyelamatkanku!"

"Kami bisa menemukan tuan setelah melihat isyarat asap dari pulau tempat tuan ini." ucap lelaki yang kedua.

terdiam si lelaki ini. Alangkah malu rasanya pada Allah atas keluhan dan putus asanya dari rahmat Allah.

Sungguh mudah manusia itu berputus asa pada Allah apabila dia diuji. Namun apakah manusia mengetahui bahawa pertolongan Allah itu dekat? Semoga ujian yang menimpa takkan menjatuhkan dan menjauhkan kita dari Allah. Mungkin ia adalah 'isyarat asap' dari Allah, tidak lain, agar kita bersyukur.

Tuesday 5 July 2011

Lepaskan cintamu


Semakin jauh perjalanan, semakin jauh kau tinggalkan permulaan.
Hari semalam menjadi kenangan.
Ada perkara yang bisa dibiar begitu saja, terhapus oleh masa dan kehidupan.

Tegarnya Cinta
Mungkin pernah tersimpan dalam sudut hati, insan mana yang teristimewa.
Insan mana yang menerima kata-kata cinta dan kasih mu..?
Namun kini, kau ingin melepaskannya..
Sukar, bukan..?
Kerana apa..?

* Kerana dialah segala-galanya. Yang membahagiakan dan menyinari hidupmu.
* Kerana bersama dialah, terlalu banyak kenangan yang tersimpan indah.
* Kerana dialah insan terbaik yang tak bisa kau cari ganti.
* Kerana indah paras dan budi bicaranya.
* Kerana hatimu terlalu mempertahankannya...

Telah tiba saat kau melepaskan cintamu
Inilah saatnya. Allah ingin kau menemui cintaNya, dengan melepaskan cintamu..
Inilah saatnya. Dia ingin menggantikan mutiara palsu yang kau miliki, dengan mutiaraNya yang asli.
Kenapa harus kau melepaskan mutiara palsumu?

* Kerana Allah adalah segala-galanya. Yang mencintaimu dengan redhaNya.
* Kerana hidupmu hanya sementara, biar jadi kenangan terbaik buat kehidupan akhiratmu.
* Kerana Allah akan menggantikan cintamu dengan cinta dariNya yang jauh lebih baik.
* Kerana paras rupa bukan yang utama, bahkan agama pula jadi taruhannya.
* Kerana saat ini, tiada apa lagi yang harus kau pertahankan bersamanya..

Lepaskanlah...
Biar tenang jalanmu menyelusuri dunia fana.
Biar lebih indah cinta yang akan kau kecapi.
Biar cinta kerana Allah yang akan membawamu ke syurgaNya...

.:: "Boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak." Al Baqarah:216


Tuesday 28 June 2011

Susah itu indah


Jika kita sakit dan perlu dibedah, kita pasti akan merelakan apa-apa saja yang dibuat oleh doktor-doktor bedah tu. Tak kisahlah dalam proses surgeri tu, kulit kita dibelah, atau dikepit dan ditarik. Mungkin ada organ kita yang dikeluarkan dan bermacam-macam lagi operasi yang sangat perlu dilakukan demi memperbaiki taraf kesihatan pesakit. Tiada pesakit yang bangun dan menghentikan kerja-kerja doktor semasa dibedah kerana dia sudah dibius. Bermakna, dia merelakan apa saja dilakukan ke atas tubuhnya. Yang penting, kembali sihat. Kan..?

Sama saja kita sebagai hamba Allah.
"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia berada dalam susah payah." (Al Balad 90:4)

Begitu yang telah dikatakan oleh Allah, manusia itu hidup dalam susah payah. Jadi mengapa mengeluh? Tiada seorang pun yang tidak merasa kesusahan kerana kita adalah makhlukNya. Dialah pemilik jasad dan kita seluruhnya. Kita sebagai hamba tak layak membantah, malah perlu menerima dengan taat.

Namun, Allah katakan lagi..
"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya." (Al Baqarah 2:286)

Maha Suci Allah yang sangat mengasihani hambaNya. Dia sebagai pencipta pasti tahu segalanya tentang hambaNya.

Ada lagi yang Allah janjikan..

"dan Kami akan memberi kamu taufik ke jalan yang mudah." (Al A'laa 87:8)

Allah pasti akan memberikan kita jalan keluar. Yang jadi pembeza antara orang yang menang atau kalah adalah usahanya. serta izin Allah sudah pastinya. 

Jadi, takkan kita nak tunggu saja..? Kita sendirilah yang mesti berusaha untuk menyelesaikan segala kesusahan kita.

Kerana, janji Allah..

"Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan shalat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar." (Al Baqarah 2:153)

Jadi, jangan mengeluh kalau Allah ambil sesuatu daripada kita macam doktor keluarkan organ, atau kita rasa dihiris, dicalar atau dibelah macam doktor 'scissor' pesakit dia.. Yang penting kita tahu, Allah lebih dekat daripada urat leher kita. 

So, wipe your tears, make a smile on your face. Raise your hand, stand up for prayers and ask anything from Him. 

"Ud'uni, fastajib lakum." 
Wallahu a'lam.

Thursday 23 June 2011

Analogi pinggan

Ada satu artikel yang membuatkan saya mengangguk sendiri selepas membacanya.
Saya pun tak tahu siapa penulis asalnya,
tapi analoginya mudah dan berbekas untuk dicerna.

Bayangkan kita ada tiga buah pinggan yang kita bagi pinjam pada tiga kawan yang berbeza.
Kawan yang pertama, pulangkan pinggan kita dalam keadaan yang telah dicuci bersih.
kita pun tak teragak-agak untuk terus simpan dalam almari.

Tapi kawan kedua kita memulangkan pinggan tu dalam keadaan kotor, tak dicuci.
Kita pun pasti akan cuci pinggan tu sebersih-bersihnya.
Kemudian baru kita simpan dalam almari..
kan..?

Dan kawan kita yang ketiga, pulangkan pinggan kita yang dah pecah dan retak seribu.
Kita pun berfikir..? takkan nak simpan lagi, kan?
Kita pun tak teragak-agak dan terus buang pinggan tu dalam tong sampah..

Analogi yang mudah.
Manusia yang pulang sebagai hamba Allah yang 'bersih',
pasti Allah akan memasukkannya ke dalam syurgaNya..
Manusia yang pulang sebagai hamba Allah yang berdosa,
pasti Allah akan 'cuci' bersih2 supaya dosanya dihapuskan dalam nerakaNya.
Kemudian barulah dimasukkan ke dalam syurga dengan rahmatNya.
Tapi manusia yang pulang dalam keadaan yang ingkar pada tuhannya,
pasti Allah akan memasukkannya ke dalam neraka.
Seburuk-buruk tempat kembali.. 

Cerita dunia

Ada suatu sisi dunia,
Manusia terleka, kabur matanya,
Tak hirau agama, tak hirau Pencipta,
Megah dirinya, usulnya dilupa.

Ada suatu sisi dunia,
Banyak ragamnya hidup manusia,
Dalam rentak irama leka,
Hanya tawa tak ingin berduka.

Ada suatu sisi dunia,
Hidup ibarat mereka yang punya,
Akhirat sana peduli apa,
Asalkan nafsu menjadi raja.

Namun di suatu sisi dunia,
Ada insan luar biasa,
Dunia bukan menjadi damba,
Satu tujuan menjadi hala.

Namun di suatu sisi dunia,
Ada insan mendamba cinta,
Bakti dicurah sebagai hamba,
Dunia dijual, akhirat dicita.

Namun di suatu sisi dunia,
Demi redha, segalanya direla,
Hati gentar takut yang Esa,
Inginkan syurga, gerunkan neraka.

Inilah cerita seisi dunia,
Ada manusia...manusia biasa,
Tapi di suatu sisi dunia,
Ada insan...dalam redhaNya.

Friday 17 June 2011

Lagi dan lagi

"Assalamualaikum."

"Assalamualaikum, adik."

Berkali-kali pintu bilik itu diketuk. Tinggi harapannya agar penghuni bilik sudi membuka.

"Assalamualaikum." Ucapan salam kali ketiga. 
'Kalau tak buka jugak, takpelah. Lainkali aku datang lagi.' desis hatinya.

Kali ini kelihatan ada bunyi orang yang melangkah menghampiri pintu. Tidak lama kemudian, pintu bilik dikuak dari dalam. Penghuni bilik itu hanya menjengah melihat gerangan siapa yang mengetuk pintu malam-malam begitu.

"Kenapa kak?" dia bertanya dengan dahi berkerut. Mungkin tak senang kerana kerjanya terganggu.

"Tengah buat apa,dik? Jomlah, ada tayangan ringkas di floor atas. Dah nak mula ni."

"Ohh..Hmm..Takpelah kak. Saya tak pergi kut." pantas si penghuni bilik menolak ajakan.

"Sekejap je dik. Luangkan masa sikit je, ramai kawan-kawan ada kat atas." dia mengajak kali kedua. kali ini senyumannya melebar.

"Takpelah kak. Saya tak pergi." Lantas dia mengeleng kepala lalu menutup pintu.

...

Termenung dia sendirian di sebalik pintu. Dia faham. Hatinya terguris sedikit. Namun cepat-cepat dia mengukir senyum sendiri.

'Tak apa lah. Mungkin esok lusa dia datang.' hati kecilnya memujuk. nafasnya dihela panjang.

"Kadangkala ukhti, kita perlu jadi orang yang 'keras hati'. Maksudnya, kita kena tahan dengan karenah mad'u-mad'u kita. Mereka tak faham. Mereka rasa apa yang kita buat ni pelik. kita tak boleh putus asa. Tugas kita adalah terangkan kepada mereka apa yang sepatutnya mereka fahami. Jika setelah mereka faham, kemudian mereka menolak, itu terpulang kepada mereka atas pilihan mereka sendiri. Yang penting kita. Kita kena teruskan tanggungjawab kita terhadap agama Allah ini."

kata-kata salah seorang akhwat itu kena tepat pada dirinya. dia mengangguk mengakui.

Dia terlalu lemah. Baru saja ditolak sebegitu. baru saja ditunjukkan muka yang masam dan pandangan serong daripada mad'u. takkanlah itu pun nak putus asa.

"Astagfirullahal 'azim.." 
dia termenung sendirian. 

Apalah nak dibandingkan dugaan dakwahnya dengan dugaan dakwah Rasulullah.. tak tertulis seberapa jauh bezanya. satu sahaja yang perlu disemat dalam hati. Tingkatkan himmah. Tujuan kita adalah daie yang mengajak manusia kembali kepada Allah. Betulkanlah niat. Kita mengajak mereka kepada Allah. Jika mereka tidak menerima ajakan kita, doakanlah mereka menemui Allah melalui wasilah lain.

Wednesday 15 June 2011

Warkah buat ukhti..


Alhamdulillah, Allah telah memberikan kekuatan dan keizinan untuk saya dan beberapa akhwat lagi untuk melawat Ukhti Sadariah di Kuala Pilah. Terlalu banyak yang ingin dicoretkan sehingga saya sendiri tak pasti yang mana satu permulaannya. Yang jelas, perasaan yang tak tergambar itu cukup diingati, bilamana kami tiba di Hospital Tunku Ampuan Najiha, Kuala Pilah lebih kurang jam 8.30 malam. Waktu melawat sudah tamat sejam yang lalu, tetapi kami terus-terus berdoa dan berharap agar kami diberi peluang untuk melawatnya di luar waktu melawat.

Alhamdulillah, kami dibenarkan melawatnya di wad 8. Syaratnya, seorang demi seorang. Saya adalah yang terakhir melawatnya. Teringat lagi bagaimana perasaan saya ketika melangkah menaiki tangga untuk ke tingkat satu. Terasa menggigil seluruh tubuh. Emosi yang tidak begitu stabil cuba ditenangkan. Walaupun akhwat lain yang lebih awal melawatnya memberitahu saya bahawa pesakit telah tidur, masih saya merasakan suatu perasaan yang tidak stabil. Sedih, rindu, simpati dan segalanya ada. 

Di benak fikiran saya, timbul berbagai persoalan.
Bagaimana keadaannya?
Bagaimana wajahnya?
Apakah yang sedang dirasainya?
Apakah yang sedang difikirkannya?

Allahu akbar..
Setiap langkah saya cuba tenangkan diri. mencari di mana katilnya. Istighfar dan zikrullah cuba saya serapkan ke seluruh tubuh. Airmata cuba ditahan agar tidak jatuh di hadapannya.

Warkah buat ukhti...

Setibanya ana di wad 8. Ana lihat di sebalik tabir. Ukhti sedang tidur. Nyenyak dan tenang. Wajah ukhti kelihatan letih. Sakitkah ukhti? Ana hanya berdiri di sebelah katil ukhti. Melihat sekujur tubuh ukhti yang diselimuti. Berbagai rasa menyerbu ana, ukhti. Tak sanggup rasanya untuk ana mengejutkan ukhti dari tidur yang nyenyak itu. Ana takut jika ukhti terjaga, ukhti rasa sakit.

Ana hadiahkan al fatihah dan doa buat ukhti. Semoga Allah tabahkan hati ukhti dan kita semuanya. Semoga ujian yang menimpa ukhti menjadi tanda cinta ukhti kepadaNya. Semoga Allah kukuhkan keimanan ukhti agar tidak terputus dari rahmatNya. Semoga Allah kurniakan kesabaran buat ukhti, agar ukhti optimis menghadapi semua ini. Dan semoga Allah jadikan ukhti, hambaNya yang bersyukur atas segala nikmat dan musibah yang Allah berikan kepada orang-orang yang beriman.

Ana sangat ingin memeluk ukhti. Tapi ana risau keadaan ukhti yang cedera. Ukhti.. kitakan hanya makhluk. Jasad dan nyawa kita semuanya pinjaman dari Allah. InsyaAllah, apa yang telah Allah ambil kembali dari kita, kita harus meredhainya. Kerana kita milikNya. Dialah yang berhak segalanya ke atas kita. Hitunglah segala nikmatNya. itu lebih baik daripada kita menghitung kesusahan kita.

Ukhti.. ana gembira mendengar cerita dari akhwat lain yang mengatakan ukhti sangat tabah. Ukhti katakan, kehilangan mata ukhti hanyalah ujian yang sedikit. Ukhti katakan, ukhti masih ada kaki dan tangan untuk bergerak.. MasyaAllah ukhti.. ketabahan ukhti adalah dari Allah. Memang benar kata-kata Allah, Dia tidak akan membebani manusia, melainkan menurut kesanggupannya..

Ana lihat foto-foto kereta ukhti selepas kemalangan. Subhanallah.. Jika difikir-fikirkan, agak mustahil ukhti yang menjadi mangsa yang paling parah. Kerana kereta itu remuk teruk di bahagian hadapan, sedangkan ukhti duduk di belakang. Subhanallah atas kekuasaan Allah. Pemandu yang sepatutnya cedera parah, namun Allah selamatkannya. Alhamdulillah..Ukhti, semua ini pasti ada hikmahnya. Jika ukhti yang menjadi hambaNya yang terpilih untuk diuji, ukhtilah yang beruntung kerana Dia melihat ukhti. Dan ingin menguji keimanan ukhti.

" Apa yang ada di sisimu akan lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal. Dan Kami pasti akan memberi balasan kepada orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan." (An-Nahl 16:96)

Ya Allah.. sesungguhnya segala sesuatu yang terjadi, pasti ada kebaikannya. Di setiap kesusahan, pasti ada kemudahannya. Tunjukilah kami jalan keluar. Jadikanlah kami hamba yang beriman, bersabar dan bersyukur serta bertawakal hanya kepadaMu. Jadikanlah ujian ini sebagai kafarah dosa-dosa kami ya tuhan.. jadikanlah kami hamba yang sentiasa mengharap redhaMu, yang sentiasa Engkau lindungi. yang kembali kepadaMu. Amin. ya rabbal 'Alamin..

" Dan (Hud) berkata, "Wahai kaumku! Mohonlah ampunan pada Tuhanmu lalu bertaubatlah kepadaNya, nescaya Dia menurunkan hujan yang sangat deras, Dia akan menambah kekuatan di atas kekuatanmu, dan janganlah kamu berpaling menjadi orang yang berdosa." (Hud 11:52)


Friday 10 June 2011

a 'gift' from HIM

R
E
S
U
L
T
...


to be honest..
i'm not that genius.
i'm not that nerd.
i'm not a fast-learner.

this is the worst result i've ever received through years of studies.
but i never be as calm as now.

i won't regret
i won't give up
i take this as a challenge, coz
at certain times, we need a good fall to make us rise better.

i know my weakness.
i realise what i need to do.
i know what makes me different than the others.
i know what makes me better than the others.
i know to whom i surrender myself.

the ONLY ONE i love.
the ONLY ONE who knows everything on me.
the ONLY ONE whom i give all my life and my hereafter.
HE is here.
so close to me.
i know that.
i feel that.
and HE that makes me accept this as the best from HIM.