Sunday 31 July 2011

Those 'Muslim' Girls

Sekadar renungan kita bersama..

Renunglah Islam pada isi al quran, risalah Rasulullah, jangan menilai islam sekadar melalui ummatnya..


wallahu 'alam.

Tuesday 26 July 2011

Umat Yang Tidur

Seorang lelaki telah bermimpi.
Di dalam mimpinya, dia dikejar oleh singa. Lalu dia berlari memanjat pokok dan duduk di sebatang dahan. Dia menunggu singa itu pergi, namun singa itu masih berada di bawah pokok itu.

Lalu dia memandang ke dahan tempat didudukinya itu. Kelihatan dua ekor tikus sedang memakan dahan pokok itu menandakan tidak lama lagi, dahan itu akan patah, dan dia akan jatuh. Seekor tikus itu berwarna hitam, manakala seekor lagi berwarna putih.

Dia melihat ke bawah dahan pokok itu. Ada seekor ular hitam sedang membelit pokok itu. Ular itu membuka mulutnya luas-luas menantikan dia jatuh sebagai habuan makanannya.

Setelah tiada arah lagi, lelaki itu memandang ke atas kepalanya, berharap jika masih ada tempat lagi untuk menyelamatkan diri. Di atas dahan tempat dia duduk itu, terdapat sebuah sarang lebah. Setitis madu jatuh keatasnya. Lalu dia pun merasa manisnya madu itu. Setitis demi setitis, dia semakin leka merasai manisnya madu itu. 

Tiba-tiba, tanpa disedarinya, dahan itu patah, lalu dia terjatuh. Saat itu barulah dia kembali teringat bahaya-bahaya yang menuggunya dari awal tadi.

Setelah itu, dia menceritakan mimpinya itu kepada seorang ulama.

ulama tersebut berkata:

Singa yang mengejarmu itu adalah KEMATIAN. Dia akan mengikutimu walau kemanapun kamu pergi.

Tikus-tikus yang memakan dahan itu adalah SIANG DAN MALAM yang 'memakan' detik masa kehidupanmu. Tikus hitam itu adalah malam, dan tikus putih itu adalah siang.

Ular yang bersedia membahammu di bawah dahan itu adalah KUBUR. Bila-bila masa saja kamu akan terjatuh ke dalamnya.

Dan sarang lebah itu adalah DUNIA. Titisan madu yang kamu rasai itu adalah kemewahan dan kesenangan duniawi yang akan melekakanmu lalu kamu terjatuh tanpa sempat bersedia.



Sumber : Into the core

Monday 25 July 2011


Ya Allah..
Dosa apa yang membelenggu jiwa hamba tika ini?
Hingga hamba jadi insan hina dan keji.
Dosa apa yang menghambat hamba saat ini?
Hingga hamba jadi insan pendamba bangkai duniawi?

Ya Tuhan..
Hati apa yang sedang merajai kerajaan diri hamba ini?
Hingga diri hamba terhumban dalam gelap gelita.
Hati apa yang merampas cinta hamba terhadapMu ya Allah?
Hingga hamba terhijab dari segala kebahagiaan bersamaMu ya Allah..

Ya Rahman..
Jangan biar hamba jadi makhluk hina.
Yang bersenang-senang dengan tipu daya dunia.

Ya Rahim...
Izinkan hamba kembali kepadaMu..
Berilah hamba, hati yang baru.
Yang bergetar saat menyebut namaMu..
Yang tenang saat mengingatiMu..
Yang damai saat kembali kepadaMu..

Saat ini..
Bisakah hamba kembali kepadaMu?
Bisakah hati ini ikhlas mencari redhaMu?
Bisakah diri ini melepasi setiap detik duniawi yang menipu?
Bisakah diri ini menjadi tapisan yang baik olehMu?

Andai hamba mati sekarang..
Izinkan hamba menutur kalimah thoyyibah itu..
Izinkan hamba syahid sebagai pencintaMu..
Izinkan hamba melihatMu nanti...

Tuesday 12 July 2011

Berhenti atau tidak..?


Kadangkala, kita tak dapat apa yang kita suka. Tapi kita kena suka apa yang kita dapat.
Fikir-fikirkan.

Bayangkan anda memandu di jalanraya. Beberapa meter di hadapan anda, ada sebuah lampu isyarat. Apa yang anda fikirkan...?

1. Perlukah aku berhenti?

2. Lampu isyarat?? Redah saje!

3. Merah mesti berhenti. Hijau baru boleh jalan.

Begitulah manusia. Orang yang memilih kenyataan pertama, sepertinya dia adalah orang yang ragu-ragu dengan perintah dan larangan Allah. Dia hanya akan mengikut apabila perlu. Dan akan meninggalkan apabila perlu. Keputusan yang dibuat, hanyalah untuk memenuhi keselesaan dan yang apa mudah baginya.

Orang yang memilih kenyataan kedua pula adalah orang yang lansung tidak memperdulikan siapa Allah dan siapa dirinya. Keputusan yang dibuat adalah sangat membahayakan dirinya sendiri. Hukum hakam dan agama hanyalah sesuatu yang menghalang dirinya. Dia bebas melakukan apa saja kerana dia yakin dirinya akan 'terselamat'.

Manakala, orang yang memilih kenyataan ketiga adalah hamba yang patuh pada perintah dan larangan Tuhannya. Keputusannya adalah berdasarkan iman yang memandu dirinya. Dia yakin adanya hikmah yang baik dalam setiap suruhan dan larangan Allah. Dan dia juga yakin, jika terjadi kemalangan, sekurang-kurangnya dia adalah orang yang telah mengikut peraturan jalan raya. Bermakna, tawakkalnya hanya kepada Allah, ujian dan dugaan hidup diserah semuanya kepada Allah.

Mana satu pilihan kita?

Kali pertama, kali kedua langgar lampu isyarat, kita mungkin selamat. Tetapi, pasti suatu masa nanti kita diberi pengajaran setimpal jika masih tidak mematuhinya.

Wednesday 6 July 2011

RahmatNya

Sebuah kisah pendek.

Kisah seorang lelaki yang terselamat setelah kapalnya karam di lautan. Dia terdampar keseorangan di sebuah pulau. Berkali-kali doa dipohon semoga Allah membantunya dan memberinya perlindungan. Hanya Allah saja yang tahu betapa sedih dan buntu hatinya tatkala melihat horizon di kejauhan. Masih tiada kapal yang bisa datang ke pulau kecilnya itu.

Semangatnya diraih bagi menyambung hidup. Segala yang mampu dia lakukan demi membina sebuah tempat berteduh. Keesokan harinya dia keluar mencari barang apa pun yang bisa dijamah buat alas laparnya.

Sekembalinya ia, alangkah luluh hatinya melihat tempat teduh hasil titik peluhnya habis dijilat api. jatuh air matanya, kerana merasa terlalu berat ujian Allah buat dirinya yang keseorangan. 'Lantas apa lagi yang bisa diharapkannya?' Keluhnya pada Allah.

Hari berlalu. Tidurnya dikejutkan oleh dua orang lelaki.

"Alangkah bagusnya kami telah menemui kamu. Ayuh, lekas naik ke sampan. Bisa kami hantar kamu kembali kepada keluargamu." ucap salah seorang dari dua lelaki itu.

"Oh Tuhan, bagaimana bisa kalian menemukan saya di sini? Terima kasih kerana menyelamatkanku!"

"Kami bisa menemukan tuan setelah melihat isyarat asap dari pulau tempat tuan ini." ucap lelaki yang kedua.

terdiam si lelaki ini. Alangkah malu rasanya pada Allah atas keluhan dan putus asanya dari rahmat Allah.

Sungguh mudah manusia itu berputus asa pada Allah apabila dia diuji. Namun apakah manusia mengetahui bahawa pertolongan Allah itu dekat? Semoga ujian yang menimpa takkan menjatuhkan dan menjauhkan kita dari Allah. Mungkin ia adalah 'isyarat asap' dari Allah, tidak lain, agar kita bersyukur.

Tuesday 5 July 2011

Lepaskan cintamu


Semakin jauh perjalanan, semakin jauh kau tinggalkan permulaan.
Hari semalam menjadi kenangan.
Ada perkara yang bisa dibiar begitu saja, terhapus oleh masa dan kehidupan.

Tegarnya Cinta
Mungkin pernah tersimpan dalam sudut hati, insan mana yang teristimewa.
Insan mana yang menerima kata-kata cinta dan kasih mu..?
Namun kini, kau ingin melepaskannya..
Sukar, bukan..?
Kerana apa..?

* Kerana dialah segala-galanya. Yang membahagiakan dan menyinari hidupmu.
* Kerana bersama dialah, terlalu banyak kenangan yang tersimpan indah.
* Kerana dialah insan terbaik yang tak bisa kau cari ganti.
* Kerana indah paras dan budi bicaranya.
* Kerana hatimu terlalu mempertahankannya...

Telah tiba saat kau melepaskan cintamu
Inilah saatnya. Allah ingin kau menemui cintaNya, dengan melepaskan cintamu..
Inilah saatnya. Dia ingin menggantikan mutiara palsu yang kau miliki, dengan mutiaraNya yang asli.
Kenapa harus kau melepaskan mutiara palsumu?

* Kerana Allah adalah segala-galanya. Yang mencintaimu dengan redhaNya.
* Kerana hidupmu hanya sementara, biar jadi kenangan terbaik buat kehidupan akhiratmu.
* Kerana Allah akan menggantikan cintamu dengan cinta dariNya yang jauh lebih baik.
* Kerana paras rupa bukan yang utama, bahkan agama pula jadi taruhannya.
* Kerana saat ini, tiada apa lagi yang harus kau pertahankan bersamanya..

Lepaskanlah...
Biar tenang jalanmu menyelusuri dunia fana.
Biar lebih indah cinta yang akan kau kecapi.
Biar cinta kerana Allah yang akan membawamu ke syurgaNya...

.:: "Boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak." Al Baqarah:216