Saturday 17 September 2011

Jangan bunuh dia!

"Hei kamu!
ya kamulah! Siapa lagi..
Apa khabar? Sihat?"

"Mestilah sihat.. Sejak kebelakangan ni rasa bahagiaaa je.."

"Tak. Tak. Bukan kamu, aku tanya pada yang di 'dalam' kamu tu.
Nampak macam tak sihat.. Sakit ke?"

"Ah? Akukah yang kau maksudkan?"... "Urrgghh...Aku sedang nazak ni.."

"Eh? Kenapa kau biarkan dia sakit macam tu? Kau tak sedar ke?"

"Ha..?! Oh! Hmm.. Iyelah, kau nampak teruk.."

"Ni semua salah kau lah! Sanggup kau buat aku macam ni.. Aku disakiti perlahan-lahan.. Kau nak bunuh aku ke..? ... Aarrrgghh...... Uhuk,uhuk!"

"Emm.. Aku.. Aku.. Tak perasan kau sakit. Sekarang ni aku rasa luaran aku sihat je. Tak sangka pulak kau yang di dalam ni teruk betul.. Emm.."

"Apa pasal kau boleh tak perasan? Apa yang kau sibukkan sekarang ni..?"

"Emm.. aku.... Emm..maklumlah sekarang ni aku kan tengah cuti ni. Jadi sibuk sikit la luangkan masa untuk yang tu, yang ni, benda tu, benda ni.. hmm..."

"Ish kau ni! Kalau kau jaga dia ni elok-elok, kau tak payah nak luangkan masa untuk yang lain-lain tu.. Kau tu yang ikutkan sangat kehendak diorang tu.. Melebih-lebih! Sebab tu dia ni makin sakit!"

"Entah kau ni.. Kesian kat aku tau. Dulu ada jugak kau jenguk-jenguk aku. Bagi makan.. temankan aku malam-malam.. bacakan surat-surat cinta yang best tu.. Sekarang ni kau biar je aku camni.. sedih ar camni!"

"Hmm.. aku bukan ape.. Masa awal-awal tu aku ingat nak teman diorang sekejap je,, tapi tak sangka pulak aku sampai melebih-lebihkan diorang.. Aku bagi dia tu dengar lagu best-best.. Aku bagi dia ni tengok citer yang baru kuar kat wayang smuaa.. Tu yang rasa penat skit.."

"Aah! Penat la sangat.. Ape yang buat kau penat sampai tak sempat nak teman aku bangun malam? Pagi pun asyik terlajak je, kesian kat aku.. Kau ni..!"

"hmm.. kau orang tak paham.. Susah la aku camni.. Aku rasa tak larat nak jaga kau lagi.. Diorang tu pun kadang-kadang nak jugak aku manja-manjakan.."

"Eh, kau tu yang salah cara nak manjakan diorang.. Patutnya kalau kau nak temankan diorang, bawak dia ni skali! Kalau kau teringin nak tengok wayang ke,, bawak skali dia ni, kalau dia cakap wayang tu tak best, tak baik untuk kau, kau tak patut teruskan! Yang penting kau dengar cakap dia ni..Faham?!"

"Hmm.. Aku tau aku salah sebab tak jaga kau elok-elok.. Tapi kau orang tak patut salahkan aku jugak! Mana kawan-kawan lain tak tolong nasihat aku pun! Patutnya diorang tolong ingatkan aku untuk jaga kau ni."

"Kau jangan nak salahkan sapa-sapa. Yang paling dekat dengan kau adalah Dia! Dia lebih dekat dari urat leher kau! Sepatutnya kau tau dan ingat tu! Dia tahu apa yang kau bisikkan walau tak terlafaz di mulut. Dia sentiasa dekat.. Kawan-kawan kau pun selalu ada dan siap membantu kalau kau perlukan diorang. Masalah skarang ni, Dia dan kawan-kawan kau yang jauh atau kau yang menjauhkan diri dari Dia dan kawan-kawan kau?!"

"Ah? hmm..aku.. Entahlah.. aku khilaf.. Aku patut sedar semua ni. Aku tak patut buat kau sakit walaupun sikit.. Maafkan aku.."

"Aku takkan kembali sihat kalau setakat terima maaf kau je. Kau patut tolong aku!"

"Tolong ape? Kau ni..."

"Ish! Jangan nak merungut, kau nak tolong aku atau kau nak bunuh aku je terus?!"

"Eh tak! Tak! Meh kau cakap je kat aku..InsyaAllah aku buat asalkan kau sihat balik.. Aku rindukan kau lah.. Kau tau tak, aku baru perasan, masa kau sakit kan, aku pun rasa cam ada yang tak kena. Aku rasa keseorangan walaupun aku dikelilingi ramai orang. Aku rasa ada sesuatu yang hilang walaupun masa tu aku dapat habiskan duit aku beli smua yang aku nak. Aku rasa ada benda yang tak setel walaupun masa tu aku luangkan banyak masa dan yang paling penting aku rasa rindu kat sesuatu, tapi aku tak tau ape yang aku rindukan..."

"Haa..tau pun kau. Kau rasa tak kena sebab semua benda yang kau buat tu tak kena dengan apa yang aku nak. Kau rasa keseorangan sebab kau tak bersama aku. Kau rasa ada yang hilang sebab kau tengah bunuh aku dan aku mati perlahan-lahan. Kau rasa ada yang tak setel sebab kau tak penuhi apa yang aku perlukan dan yang paling penting, kau rindukan Dia..."

**Tunduk**

"Dah, sekarang ni, aku boleh balik kat kau, asalkan kau buat ape yang aku nak ni. Boleh?"

"Ye, insyaAllah, semoga Dia permudahkan, apa yang kau nak aku buat?"

"Aku nak kau temankan aku setiap malam, kalau boleh kau buat aku menangis kerana rindukan Dia.. Aku nak selalu dengar kau baca surat-surat cinta Dia. Aku nak kau selalu sebut nama-nama Dia sebab bila kau sebut nama Dia banyak-banyak, aku rasa tenang..Tu je setakat ni untuk sihatkan aku balik. Bleh buat?"

"InsyaAllah, dulu sebelum aku tinggalkan kau.. Aku kan selalu buat tu.. Masa tu kau sihat je kan.. InsyaAllah aku akan buat lebih bagus lagi dan lebih banyak lagi dari yang kau suruh tu.!"

** semangat! **

"Ah, seronoknya bila tengok kau dua orang dah ok."

.....................................................

"Allah meluaskan rezki dan menyempitkannya bagi siapa yang Dia kehendaki. Mereka bergembira dengan kehidupan di dunia, padahal kehidupan dunia itu (dibanding dengan) kehidupan akhirat, hanyalah kesenangan (yang sedikit). (Ar-Ra'du 13:26)"

" Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya. (Qaaf 50:16)"

" Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya. (Al Isra' 17:36)"



......................................
Wallahu 'alam.

Wednesday 24 August 2011

Buat Diri


Derap kakimu nampaknya longlai.
Senda gurau duniawi kian menghiburmu.
Kau rasa kau puas.
Hakikatnya kau semakin keliru sendiri.

Apa yang dicari, apa yang diingini?
Pencarianmu buntu tanda tak pasti.

Terdengar suara keras memanggil.
Teresak tangismu tubuh menggigil.
Menyambut seru malaikat Izrail.


Suatu saat lahad pun menempatimu.
Ah, keseorangan sendiri tanpa ada tamu.
Gelapnya menyesak dada menekan kalbu.
Tiada siapa mendengar seru.
Apatah lagi menghulur membantu.

Kau sendiri di padang sesak.
Peluh memercik dek mentari marak.
Tak sedar dirimu meratap melalak.
Bimbang ke mana, kau kan ditolak.

Mana mungkin kau minta kecuali.
Perhitungan bermula,kau pasti diadili.
Tatkala lidahmu dibelenggu rapi.
Biar tubuhmu menjadi saksi.

Saat ini lewat sudah penyesalan.
Tempat akhirmu nampaknya tak aman.
Andai iman dan amal tak jadi bekalan.

Tak guna minta kembali ke dunia khayalan.

Waktu kian menganjak pergi.
Destinasi abadi kian menghampiri.
Namun kau masih leka sendiri.
Kian bingung, tiada mengerti.


Apa rasamu bila diberi peringatan?
Terusikkah iman, terbitkah ruang perubahan?
Wahai manusia, carilah di mana Tuhan.
Kerna di sisiNya lah jua tempat kembali yang aman..





* Nukilan hamba futur dan kufur. Minta diampun dinaung dalam redhaMu. Minta dijauhi azab neraka, namun rasa terhina mengidam syurga.

Saturday 13 August 2011

Dari Jalur Gaza..

 
Sebuah pembacaan yang menarik jiwa mencari makna dan pembuktian Islam dalam diri..


"Keajaiban demi keajaiban telah terjadi di jalur Gaza. Sepetak tanah yang tak lebih dari 360 km persegi. Di atas tanah yang ditimpakan penderitaan lebih dari penderitaan penjajahan manapun di abad moden ini. Ketika Israel laknatullah menjatuhkan 1 kg amunisi dan bahan peledak untuk masing-masing penduduk Gaza yang berjumlah 1.5 juta orang, melalui bom, misil dan peluru, melalui puluhan jet tempur dan ratusan tank. Di sanalah.. AYAT-AYAT ALLAH BERBICARA.."


Gaza, benteng terakhir..


Hamas yang ditubuh pada 1987 menjadi pejuang utama di Palestin. Keberadaan mereka di Gaza umpama memberi harapan akan munculnya generasi Salahuddin al Ayubi yang akan kembali membebaskan Baitul Maqdis. Jika semasa Perang Salib, muncul panglima agung, kini semoga darah muslim yang bergenang di Deir Yasin, Shabra Shatila dan Gaza ini dibalas setimpal oleh Hamas di Palestin.


Sabda Rasulullah S.A.W:
"Segolongan dari ummatku akan terus berada dalam kebenaran, mereka akan terus berjuang melawan orang yang memusuhi mereka. Mereka seperti bejana makanan di antara para penyantapnya sampai Allah memutuskan (kemenangan bagi mereka) sementara mereka dalam kondisi seperti itu." 'Wahai Rasulullah, di mana mereka?' "Mereka di sekitar Baitul Maqdis." (HR Ahmad)


Hamas senyap tapi pasti, tidak berhenti dan terus memperluas sentuhannya ke seluruh masyarakat.


"Air yang mengalir lebih baik dari air yang diam. Kami sebagai sebuah gerakan, bisa menjadi air yang diam dan dibekukan oleh ketakutan dengan alasan memelihara keamanan dan organisasi. Jika itu yang dipilih,, kita akan menghidap penyakit dan kotoran. Kita juga bisa menjadi air yang mengalir.. terbaharui setiap waktu, tersebar ke mana-mana. Dengan itulah, kita bisa menjawab suara-suara yang berdalih dengan alasan memelihara keselamatan dakwah, padahal keselamatan dakwah itu ada pada GERAK dan AKTIVITASNYA." - Syeikh Ahmad Yasin.


Anak-anak Gaza, bermental waja.


Bumi seperti Gaza kini yang dibunuh perlahan-lahan hari demi hari, diboikot dan diasing oleh Israel, umpama medan kehidupan ekstrim. Gaza dihenyak dan diseksa dengan seksaaan yang tak terjadi di manapun di muka bumi. Terseksa dengan Israel, terbuang dan terabaikan oleh negara-negara dunia malah terdiam oleh negara-negara Islam yang 'tak berdaya'. Kita ibarat merestui kesengsaraan Gaza. Nauzubillahi min zaalik.


Bom phosphorus di langit Gaza.


Banyak pasukan medic yang menerima kes-kes kecederaaan ekstrim di Gaza. Salah satunya adalah akibat terkena bom phosphorus yang dilempar Israel. Menurut undang-undang dunia, bom fosforus putih ini hanya dibolehkan di medan perang terbuka dan dilarang untuk dijatuhkan di kawasan padat penduduk. Tapi hingga kini, belum ada suara-suara dunia yang mampu membidas Israel terhadap perlanggaran penggunaan bom ini.


Bom phosphorus putih itu adalah ciptaan yang panas membakar. Pakar senjata kimia menyebut, bila asap phosphorus itu terkena kulit, ia membakar hingga ke tulangnya. Panasnya asap itu hingga ia boleh meletup jika bercampur dengan okksigen. Kepedihan jika terkena asap ini sulit digambarkan. Kulit akan mengelupas hebat akibat kepanasan darjah tinggi bercampur oksigen beracun. Jika phosphorus putih itu terkena benda atau pokok saja pun boleh mengeluarkan percikan api, inikan lagi jika terkena kulit manusia..


Apa alasan Israel?


Serangan Israel adalah untuk menghentikan roket-roket pasukan islam Al Qassam. Kata Israel laknatullah, roket-roket Al Qassam itu menghantui dan mencelakakan kota-kota dan penduduk Israel.


Hanya Allah saja yang tahu kejelekkan Israel itu tak terucapkan. Agenda mereka tidak lain lagi, hanya untuk menggulingkan Hamas dan pejuang-pejuang Palestina yang selama ini menghalang cita-cita mereka untuk mendirikan Israel Raya. 


Brigade Izzuddin Al Qassam; Sang Pahlawan.


Sebuah gerakan yang penuh teliti dan cermat. Jaringan komunikasi rahsia. Serangan yang sangat cermat dan effektif. Perang urat saraf. Para pemburu syahid fisabilillah. Akidah yang utuh. Dan segalanya senjata rahsia lain yang menjadi kekuatan Al Qassam.


Al-kama-in - sebuah pasukan perintis yang akan melakukan serangan semasa tentera Israel masuk di perbatasan Timur Gaza. Pasukan ini berjaya memancing pasukan Israel ke lokasi serangan dan membunuh serta mencederakan sejumlah tentera Israel. Al kama-in adalah tentera terlatih dengan kemampuan militari yang siap menyerang pasukan darat Israel.


Al-istisyhadiyun - para pemburu mati syahid yang menghabiskan waktunya berhari-hari mengulang hafalan Al Quran, bertasbih, berzikir, dan berdoa. Mereka berjaga di parit-parit, lorong bawah tanah dan perbatasan. Hidup untuk menang atau mati untuk syahid. Ada antara al-istisyhadiyun ini adlaah para mahasiswa yang rajin mengikuti kuliah seperti mahasiswa lain, tetapi mereka memiliki agenda keimanan yang lebih istimewa. Tidak sama dan tidak diketahui oleh orang lain. Kebanyakan al-istisyahadiyun adalah penghafal al Quran. Saat menunggu perintah serangan dari komandan, mereka mengisi waktu dengan mengulang bacaan Al Quran. Serta berdoa diberi kemenangan atau mati syahid di jalan Allah.


Para perindu syahid ini sangat merindukan pertemuan dengan Allah, tetapi mereka menahan kerinduan itu dengan kewaspadaan dan kehati-hatian mengintai gerak geri musuh Allah. Jika di Gaza, para tentera Islam sampai perlu mengundi siapa yang akan terpilih untuk syahid dalam serangan ke atas musuh Allah. Jika tidak kerana taat pada arahan komandan, nescaya tentera-tentera Islam itu semuanya akan turut ikut dalam sesuatu serangan syahid. Apa pula jawapan kita jika diberi tawaran sebegitu..?


Karamah di bumi Gaza.


Bantuan Allah pasti tiba. Dalam diri penduduk Gaza itu tersemat keyakinan tinggi terhadap pertolongan Allah, dan kerana itulah Israel laknatullah sampai kini belum bisa menguasai gaza sepenuhnya.


Para mujahidin yang syahid, dengan wajah tersenyum dan cerah, tubuh yang masih segar mengalirkan darah merah walau sudah berhari-hari ditinggalkan.. Wangian kasturi yang membaluti jenazah syuhada.. Laungan kalimah syahadah yang bisa menghempaskan jet-jet Israel.. Mushaf Al Quran yang tidak lut dengan tembakan peluru.. Tentera berseragam putih yang menggetarkan musuh-musuh Allah.. Awan putih yang mengaburi tentera musuh hinggakan tentera muslimin berhasil melakukan serangan.. Lemparan butiran pasir yang membutakan mata tentera musuh.. dan berbagai lagi bantuan Allah yang menandakan kesertaaanNya bersama hamba-hambaNya yang mencintaiNya dan berjuang di jalanNya..


Penutup.


Gaza itu.. sebuah tanah di mana Islam tumbuh subur dan mekar di atasnya. Tanah yang dilimpahi darah parah mujahidin dan syuhada yang tulus berjuang.. Tanah yang menyaksikan tangisan dan laungan emosi dan keterseksaan jiwa yang teramat.. Yang mengharapkan huluran tangan para saudara muslimin di negara lainnya..


"Ya Allah, turunkanlah pertolonganMu, gerakkanlah angin, tebarkanlah debu, mantapkan pasukanMu dan kalahkan musuhMu.."


Gaza itu.. adalah bumi hamba-hamba yang bersandar pada 'kekuatan langit'.. 






Wallahu 'alam.

Thursday 11 August 2011

Alhamdulillah

Alhamdulillah, kembali menulis. InsyaAllah kerana Dia.

Alhamdulillah, kembalinya Ramadhan kepada saya. Masih ada rupanya kesempatan untuk hamba berdosa seperti saya memasuki bulan yang lebih mulia dari seribu bulan ini.

Alhamdulillah, saya dapat lagi rasa itu. Rasa untuk mencari Dia kembali. Rasa kekosongan setelah digelapi dengan kesibukan duniawi. Rasa kotor dan hina. Rasa kerdil dan tiada daya. Rasa takut. InsyaAllah.

Fasa keberkatan sudah berlalu pergi. Fasa maghfirah mengungjungi. Fasa akhir, pelepasan dari api neraka insyaAllah akan menghampiri. Langsung..? Ramadhan pasti berlalu pergi. Entahkan tiba lagi, entahkan tidak.

Ramadhan....
Awwaluhu Rahmah,
Ausatuhu maghfirah,
Akhiruhu..itku minannar..

Sunday 31 July 2011

Those 'Muslim' Girls

Sekadar renungan kita bersama..

Renunglah Islam pada isi al quran, risalah Rasulullah, jangan menilai islam sekadar melalui ummatnya..


wallahu 'alam.

Tuesday 26 July 2011

Umat Yang Tidur

Seorang lelaki telah bermimpi.
Di dalam mimpinya, dia dikejar oleh singa. Lalu dia berlari memanjat pokok dan duduk di sebatang dahan. Dia menunggu singa itu pergi, namun singa itu masih berada di bawah pokok itu.

Lalu dia memandang ke dahan tempat didudukinya itu. Kelihatan dua ekor tikus sedang memakan dahan pokok itu menandakan tidak lama lagi, dahan itu akan patah, dan dia akan jatuh. Seekor tikus itu berwarna hitam, manakala seekor lagi berwarna putih.

Dia melihat ke bawah dahan pokok itu. Ada seekor ular hitam sedang membelit pokok itu. Ular itu membuka mulutnya luas-luas menantikan dia jatuh sebagai habuan makanannya.

Setelah tiada arah lagi, lelaki itu memandang ke atas kepalanya, berharap jika masih ada tempat lagi untuk menyelamatkan diri. Di atas dahan tempat dia duduk itu, terdapat sebuah sarang lebah. Setitis madu jatuh keatasnya. Lalu dia pun merasa manisnya madu itu. Setitis demi setitis, dia semakin leka merasai manisnya madu itu. 

Tiba-tiba, tanpa disedarinya, dahan itu patah, lalu dia terjatuh. Saat itu barulah dia kembali teringat bahaya-bahaya yang menuggunya dari awal tadi.

Setelah itu, dia menceritakan mimpinya itu kepada seorang ulama.

ulama tersebut berkata:

Singa yang mengejarmu itu adalah KEMATIAN. Dia akan mengikutimu walau kemanapun kamu pergi.

Tikus-tikus yang memakan dahan itu adalah SIANG DAN MALAM yang 'memakan' detik masa kehidupanmu. Tikus hitam itu adalah malam, dan tikus putih itu adalah siang.

Ular yang bersedia membahammu di bawah dahan itu adalah KUBUR. Bila-bila masa saja kamu akan terjatuh ke dalamnya.

Dan sarang lebah itu adalah DUNIA. Titisan madu yang kamu rasai itu adalah kemewahan dan kesenangan duniawi yang akan melekakanmu lalu kamu terjatuh tanpa sempat bersedia.



Sumber : Into the core

Monday 25 July 2011


Ya Allah..
Dosa apa yang membelenggu jiwa hamba tika ini?
Hingga hamba jadi insan hina dan keji.
Dosa apa yang menghambat hamba saat ini?
Hingga hamba jadi insan pendamba bangkai duniawi?

Ya Tuhan..
Hati apa yang sedang merajai kerajaan diri hamba ini?
Hingga diri hamba terhumban dalam gelap gelita.
Hati apa yang merampas cinta hamba terhadapMu ya Allah?
Hingga hamba terhijab dari segala kebahagiaan bersamaMu ya Allah..

Ya Rahman..
Jangan biar hamba jadi makhluk hina.
Yang bersenang-senang dengan tipu daya dunia.

Ya Rahim...
Izinkan hamba kembali kepadaMu..
Berilah hamba, hati yang baru.
Yang bergetar saat menyebut namaMu..
Yang tenang saat mengingatiMu..
Yang damai saat kembali kepadaMu..

Saat ini..
Bisakah hamba kembali kepadaMu?
Bisakah hati ini ikhlas mencari redhaMu?
Bisakah diri ini melepasi setiap detik duniawi yang menipu?
Bisakah diri ini menjadi tapisan yang baik olehMu?

Andai hamba mati sekarang..
Izinkan hamba menutur kalimah thoyyibah itu..
Izinkan hamba syahid sebagai pencintaMu..
Izinkan hamba melihatMu nanti...