Wednesday 15 June 2011

Warkah buat ukhti..


Alhamdulillah, Allah telah memberikan kekuatan dan keizinan untuk saya dan beberapa akhwat lagi untuk melawat Ukhti Sadariah di Kuala Pilah. Terlalu banyak yang ingin dicoretkan sehingga saya sendiri tak pasti yang mana satu permulaannya. Yang jelas, perasaan yang tak tergambar itu cukup diingati, bilamana kami tiba di Hospital Tunku Ampuan Najiha, Kuala Pilah lebih kurang jam 8.30 malam. Waktu melawat sudah tamat sejam yang lalu, tetapi kami terus-terus berdoa dan berharap agar kami diberi peluang untuk melawatnya di luar waktu melawat.

Alhamdulillah, kami dibenarkan melawatnya di wad 8. Syaratnya, seorang demi seorang. Saya adalah yang terakhir melawatnya. Teringat lagi bagaimana perasaan saya ketika melangkah menaiki tangga untuk ke tingkat satu. Terasa menggigil seluruh tubuh. Emosi yang tidak begitu stabil cuba ditenangkan. Walaupun akhwat lain yang lebih awal melawatnya memberitahu saya bahawa pesakit telah tidur, masih saya merasakan suatu perasaan yang tidak stabil. Sedih, rindu, simpati dan segalanya ada. 

Di benak fikiran saya, timbul berbagai persoalan.
Bagaimana keadaannya?
Bagaimana wajahnya?
Apakah yang sedang dirasainya?
Apakah yang sedang difikirkannya?

Allahu akbar..
Setiap langkah saya cuba tenangkan diri. mencari di mana katilnya. Istighfar dan zikrullah cuba saya serapkan ke seluruh tubuh. Airmata cuba ditahan agar tidak jatuh di hadapannya.

Warkah buat ukhti...

Setibanya ana di wad 8. Ana lihat di sebalik tabir. Ukhti sedang tidur. Nyenyak dan tenang. Wajah ukhti kelihatan letih. Sakitkah ukhti? Ana hanya berdiri di sebelah katil ukhti. Melihat sekujur tubuh ukhti yang diselimuti. Berbagai rasa menyerbu ana, ukhti. Tak sanggup rasanya untuk ana mengejutkan ukhti dari tidur yang nyenyak itu. Ana takut jika ukhti terjaga, ukhti rasa sakit.

Ana hadiahkan al fatihah dan doa buat ukhti. Semoga Allah tabahkan hati ukhti dan kita semuanya. Semoga ujian yang menimpa ukhti menjadi tanda cinta ukhti kepadaNya. Semoga Allah kukuhkan keimanan ukhti agar tidak terputus dari rahmatNya. Semoga Allah kurniakan kesabaran buat ukhti, agar ukhti optimis menghadapi semua ini. Dan semoga Allah jadikan ukhti, hambaNya yang bersyukur atas segala nikmat dan musibah yang Allah berikan kepada orang-orang yang beriman.

Ana sangat ingin memeluk ukhti. Tapi ana risau keadaan ukhti yang cedera. Ukhti.. kitakan hanya makhluk. Jasad dan nyawa kita semuanya pinjaman dari Allah. InsyaAllah, apa yang telah Allah ambil kembali dari kita, kita harus meredhainya. Kerana kita milikNya. Dialah yang berhak segalanya ke atas kita. Hitunglah segala nikmatNya. itu lebih baik daripada kita menghitung kesusahan kita.

Ukhti.. ana gembira mendengar cerita dari akhwat lain yang mengatakan ukhti sangat tabah. Ukhti katakan, kehilangan mata ukhti hanyalah ujian yang sedikit. Ukhti katakan, ukhti masih ada kaki dan tangan untuk bergerak.. MasyaAllah ukhti.. ketabahan ukhti adalah dari Allah. Memang benar kata-kata Allah, Dia tidak akan membebani manusia, melainkan menurut kesanggupannya..

Ana lihat foto-foto kereta ukhti selepas kemalangan. Subhanallah.. Jika difikir-fikirkan, agak mustahil ukhti yang menjadi mangsa yang paling parah. Kerana kereta itu remuk teruk di bahagian hadapan, sedangkan ukhti duduk di belakang. Subhanallah atas kekuasaan Allah. Pemandu yang sepatutnya cedera parah, namun Allah selamatkannya. Alhamdulillah..Ukhti, semua ini pasti ada hikmahnya. Jika ukhti yang menjadi hambaNya yang terpilih untuk diuji, ukhtilah yang beruntung kerana Dia melihat ukhti. Dan ingin menguji keimanan ukhti.

" Apa yang ada di sisimu akan lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal. Dan Kami pasti akan memberi balasan kepada orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan." (An-Nahl 16:96)

Ya Allah.. sesungguhnya segala sesuatu yang terjadi, pasti ada kebaikannya. Di setiap kesusahan, pasti ada kemudahannya. Tunjukilah kami jalan keluar. Jadikanlah kami hamba yang beriman, bersabar dan bersyukur serta bertawakal hanya kepadaMu. Jadikanlah ujian ini sebagai kafarah dosa-dosa kami ya tuhan.. jadikanlah kami hamba yang sentiasa mengharap redhaMu, yang sentiasa Engkau lindungi. yang kembali kepadaMu. Amin. ya rabbal 'Alamin..

" Dan (Hud) berkata, "Wahai kaumku! Mohonlah ampunan pada Tuhanmu lalu bertaubatlah kepadaNya, nescaya Dia menurunkan hujan yang sangat deras, Dia akan menambah kekuatan di atas kekuatanmu, dan janganlah kamu berpaling menjadi orang yang berdosa." (Hud 11:52)


No comments:

Post a Comment